Tuesday, April 28, 2009

SEPATUTNYA SUDAH LAMA PERKARA SEBEGINI TERJADI DALAM SUKAN NEGARA

Azizulhasni lanjut pendidikan ke Universiti Deakin, Melbourne

PUTRAJAYA - Kemasyhuran, gelaran Asia, pingat perak Kejohanan Trek Dunia dan ganjaran ribuan ringgit daripada pelbagai pihak sudah diperoleh tetapi selagi dada belum berisi dengan pelajaran yang tinggi, Azizulhasni Awang masih berasa dirinya belum lengkap.
Malah menyedari kepentingan ilmu akademik sebagai penjamin masa depan, jaguh berbasikal kelahiran Dungun, Terengganu ini bertekad untuk mendapatkan segulung ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia dalam tempoh empat tahun dari sekarang.
Tanpa sesekali melupakan sesi latihan dan penyertaan kejohanan di bawah Program Jalan Ke London 2012 demi emas sulung Olimpik Malaysia, pelumba cilik ini akan memulakan pengajian awal Jun depan.
"Saya memohon memasuki universiti itu menurut saluran biasa seperti orang lain selain galakan jurulatih negara, John Beasley ketika Kejohanan Dunia di Pruzskow, Poland lagi dan dua hari selepas itu, saya menerima surat tawarannya," katanya.
Azizulhasni yang terdahulu mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Menara KBS di sini, semalam, menambah, dia akan berlepas ke Melbourne awal bulan depan untuk menyambung program latihannya di kota Australia itu.
"Pusat latihan saya di Melbourne, Velodrome Joe Chiabola, terletak kira-kira 20 hingga 30 minit perjalanan dengan kereta dari Universiti Deakin. Jadi saya fikir tiada masalah dari segi pembahagian masa dan kalau-kalau bertembung dengan jadual latihan," katanya.
Menurut Azizulhasni, 21, keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tercetus daripada kesedaran sendiri bahawa dirinya perlu dibekalkan dengan ilmu untuk digunakan pada masa depan terutama apabila karier atletnya berakhir.
"Saya juga mengambil daya usaha ini untuk belajar semula bagi menjadi contoh kepada golongan muda iaitu adik-adik kita bahawa seseorang atlet yang berjaya juga masih perlu menimba pelajaran yang formal dan memiliki kelulusan akademik demi masa depan," katanya.
Mengenai kos pengajian di Universiti Deakin, Pocket Dinamite - gelaran pemerhati sukan berbasikal dunia sejak Sukan Olimpik Beijing 2008 - itu berkata: "MSN (Majlis Sukan Negara) sudah berjanji untuk membantu membiayainya selain menyediakan elaun tetap bagi latihan dan makanan."
Misi antarabangsa berikutnya ialah Grand Prix Jerman di Cottbus, Jun ini namun penyertaan pada Kejohanan Asia di Kalimantan, Indonesia (Julai) bagi mempertahankan gelaran masih menjadi tanda tanya kerana dikatakan mahu memberi laluan dan pendedahan pelumba pelapis.

3 comments:

BUDAK SUKAN said...

apa pendapat kawan2... saya rasa sedikit gembira perkembangan ini. tetapi sepatut nye media kena main peranan memperkenalkan lebih ramai atlet yang dah berjaya dalam pelajaran. supaya menjadi inspirasi atlet muda.

nezzar said...

bagus la camni..baru la atlit2 malaysia..educated athlete..ye tak..just my 2 cent opinion..

Farhan said...

btol.. baru la budak2 muda nie bersemangat..

berjaya dalam sukan.. berjaya dalam pelajaran.. kan elok macam uh..

pikir2kan lah.. same2 usahakan..

-abe-