Sunday, August 23, 2009

ATLET CEMERLANG, ATLET BERPELAJARAN


Atlit masa kini wajar contohi Azizulhasni

SEPERTI kata pepatah, hendak seribu daya dan bagi pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan kerana dia bukan sekadar cemerlang dalam sukan, tetapi juga sedang menyambung pelajaran dalam tahun pertama jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne.

Kemampuan Azizulhasni ini sekali gus menolak sangkaan setengah pihak bahawa menceburi bidang sukan menyukarkan atlit untuk menyambung pelajaran atau mengganggu pembelajaran mereka.

Anak kelahiran Terengganu ini semakin dikenali ramai dan dihormati atas keupayaannya kerana tetap bertanding pada peringkat antarabangsa dan meneruskan latihan seperti biasa pada bulan Ramadan ini.

Saya tidak nampak puasa menjadi penghalang kepada Azizulhasni berlatih, sebaliknya ia akan menambahkan ketabahan baginya.


Yang menggembirakan saya, Malaysia kini bukan saja mempunyai Azizulhasni sebagai atlit lumba basikal, tetapi juga pelapis yang menunjukkan peningkatan mendadak di Moscow dan Kalimantan baru-baru ini, iaitu Mohd Adiq Hussainie Othman.

Pada kedua-dua kejohanan itu, Mohd Adiq menunjukkan prestasi menggalakkan lebih-lebih lagi selepas menjalani latihan bersama John Beasley dan Azizulhasni sendiri yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun, rakannya itu akan menjadi pelumba bertaraf dunia.

Saya gembira kerana kelahiran ahli sukan seperti Azizulhasni dan Mohd Adiq tidak semestinya datang dari negeri yang ekonominya maju. Terengganu sebelum ini melahirkan pelari pecut negara, Nazmizan Mohamed.

Apa yang penting, peranan kerajaan negeri dalam memberikan galakan, selain sekolah serta pihak-pihak yang bertanggungjawab mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi.

Azizulhasni yang menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM13,333 juga akan menyertai perlumbaan undangan di Colombia bersama Rizal Tisin sebelum menyertai siri Piala Dunia.

Saya doakan Azizulhasni yang digelar ‘The Pocket Rocket’ dapat berlatih dengan bersungguh-sungguh Ramadan ini untuk mempersiapkan diri bagi siri Piala Dunia, sebagai langkah pertama memburu emas impian di Olimpik London 2012 nanti.

1 comment:

En Joe Cikgu Yang Garang ^^ said...

salam...nk tumpang tyer... azizul amik kos perdagangan ke atau pengurusan sukan?